Sunday 29 January 2012

Manfaat Daripada Buah Terung


Oleh: W.K. Faizee


            Kempen bumi hijau kini sudah dikenali ramai masyarakat Malaysia. Mereka kini peka tentang pentingnya kempen yang telah di jalankan oleh kerajaan di dalam mengurang kos perbelanjaan isi rumah. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan. Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama dikalangan penduduk-penduduk taman perumahan di bandar. Kempen ini adalah dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan disamping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.
  
            Kempen ini menggalakkan amalan bercucuk tanam tanaman makanan berkonsepkan laman dapur atau ‘edible landscape’, secara menanam tanaman bersesuaian dengan ruang sedia ada dan memenuhi keperluan keluarga serta dapat menekankan konsep pengeluaran makanan untuk kegunaan sendiri. Justeru itu, kita akan melihat manfaat buah terung kepada mereka yang menanam terung khasnya didalam menyahut seruan kerajaan ini.

            Nama botaninya ialah Solanum Melongena L dan ia termasuk dalam keluarga Solanaceae ini adalah tumbuhan yang tumbuh menegak. Semua bahagian pokoknya diselaputi lapisan kelabu dan sesetengahnya adalah berduri. Tinggi pokok terung ini boleh mencecah sehingga 1 meter. Daunnya pula ringkas dan bersusun berselang–seli dan tangkai daunnya berukuran 10 sm panjang. Asal terung adalah dari sekitar kawasan antara negara India dan Myanmar. Tumbuhan ini banyak ditanam dan mempunyai variasi yang sangat luas. Ia memerlukan cuaca yang panas dan kini banyak ditanam di timur dan barat Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

     Terung mempunyai pelbagai bentuk dan jenis. Antaranya bulat, bujur dan berbentuk buah pir. Terung juga mempunyai warna yang pelbagai iaitu putih, hijau, kuning, ungu, hitam dan campuran warna. Buah Terung mengandungi vitamin A, B dan C, potassium, karotena, protein dan lemak. Selain itu ia juga mengandungi mineral besi, serabut niasin dan karbohidrat serta kaya dengan kalium untuk memulihkan paras natrium dalam badan.  

     Semua bahagian terung digunakan dalam perubatan herba. Sesuai dengan sifatnya yang menyejukkan, buah terung menghasilkan beberapa kesan antiseptik yang dikatakan boleh mengurangkan demam, merendahkan tahap kolestrol darah dan sesuai sebagai diet untuk menolong mengawal tekanan darah tinggi. Ia juga dapat mengaktifkan peredaran darah,  menyejukkan darah serta menyahkan toksin. 

     Ianya boleh dikisar dan kemudian diminum bagi mereka yang tidak lawas kencing. Ia juga dapat menghindarkan kesan-kesan hormon yang mengakibatkan beberapa jenis barah. Selain itu jika anda termakan cendawan beracun, terung adalah penawarnya. Terung juga baik diamalkan oleh wanita mengandung. Ia membekalkan folate sejenis vitamin yang menjaga kesihatan janin dalam kandungan.

     Selain buahnya, daunnya juga boleh dijadikan ubat untuk kegunaan sendiri. Air rebusan daunnya boleh diminum untuk menyembuhkan luka dan juga pendarahan dalaman juga penyejuk kepada luka akibat terbakar. Bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes, asma, kolera, bronkitis, dan sakit atau susah buang air kecil boleh juga meminum air rebusan daun ini. 

     Sememangnya banyak kegunaan buah terung ini. Disamping khasiat yang  banyak berguna untuk kesihatan kita, terung dapat dijadikan menu dalam masakan kita seharian yang serba ringkas dan menjimatkan. 

Thursday 26 January 2012

PENUBUHAN & Fungsi MARDI.....

Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah ditubuhkan pada 28 Oktober 1969 mengikut Akta MARDI (Akta 11) dan mula beroperasi pada Mac 1971. Penubuhan MARDI adalah bagi tujuan pembangunan  teknologi untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani tempatan. Pendekatan dalam pembangunan teknologi MARDI adalah melalui inovasi terancang dalam memastikan teknologi yang dibangunkan mempunyai daya saing yang tinggi.

 Logo MARDI
Allahyarham Tun Abdul Razak ketika merasmikan Pejabat MARDI pada tahun 1969


MARDI telah diberi mandat bagi melaksanakan fungsi-fungsi:
  • Untuk menjalankan penyelidikan dari segi sains, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan:
    • pengeluaran,penggunaan dan pemprosesan segala tanaman (getah, kelapa sawit dan koko), ternakan dan makanan dan perladangan campuran
  • Berkhidmat sebagai pusat pengumpulan dan peyebaran maklumat dan nasihat berkenaan dengan perkara saintifik, teknikal dan ekonomi yang berkaiatan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani, melalui apa cara termasuklah penerbitan laporan, terbitan berkala dan kertas kerja berhubung dengannya sera mengelolakan pameran, persidangan, syarahan dan seminar
  • Menjadi satu pusat yang memberikan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian serta industri asas tani seperti perkhidmatan, perundingan, makmal analisis, jaminan kualiti serta R&D kontrak
  • Memberi latihan dengan apa juga cara untuk kemajuan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani
  • Memberi geran untuk R&D dalam bidang sains tulen dan gunaan, teknikal dan ekonomi berkenaan dengan industri pertanian
  • Mengekalkan hubungan dengan organisasi lain, sama ada awam atau swasta, dalam atau luar negara yang mengambil bahagian dalam penyelidikan saintifik, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani
  • Menjalankan penyelidikan dan pengeluaran berbentuk komersial
  • Membangunkan, mempromosikan dan mengeksploitasikan penemuan penyelidikan
  • Memberi perkhidmatan pengembangan kepada industri makanan dan pertanian serta industri asas tani
oleh:

Mohd Nur Hafiz Mat Azmin
Pegawai Penyelidik
Unit Pembangunan Perniagaan
Ibu Pejabat MARDI,43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan

Tel : 03-89437053 / 5086
Fax: 03-89435840
Emel: laopan03@gmail.com

    Wednesday 18 January 2012

    ANTARA PROJEK-PROJEK UTAMA OLEH FAMA

    1. TERMINAL AGRIBISNESS NEGARA (TEMAN)

      Terminal Agribisness Negara (TEMAN) merupakan pembangunan prasarana pasaran moden yang menghubungkan rangkaian pengeluar dan pembekal kepada pengguna. TEMAN berperanan sebagai pusat pemborongan hasil-hasil pertanian dan industri asas tani secara cekap dan berkesan. Ia juga berperanan sebagai pusat pengumpulan maklumat, penentu kecekapan dan keselamatan makanan serta agro pelancongan. Pembangunan TEMAN akan dilaksanakan melaui konsep perkongsian bersama kerajaan dan swasta (
      public-private partnership)
       
    2. LADANG KONTRAK

      Di bawah RMKe-9, sektor pertanian diberi tumpuan yang khusus terutamanya aktiviti-aktiviti pengeluaran dan nilai tambah yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan sektor pertanian sebagai penjana pertumbuhan ekonomi ketiga negara. Penekanan diberikan kepada beberapa aspek pembangunan pertanian termasuk pengeluaran berkualiti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi menerusi aktiviti seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan.


      Program Ladang Kontrak adalah salah satu projek berimpak tinggi yang di perkenalkan sebagai salah satu mekanisma untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mereka mendapat pulangan yang setimpal. Program ini di jalankan secara integrasi di bawah konsep MOA Inc. melibatkan Jabatan/Agensi seperti:

      1. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
      2. Jabatan Pertanian
      3. Lembaga Pertubuhan Peladang
      4. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
      5. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
      6. Agrobank
      7. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah
      8. Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak

      Objektif utama yang telah ditetapkan bagi Program Ladang Kontrak adalah;-
      1. Menjamin pasaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan pengeluar;
      2. Mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur sayuran melalui perancangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik;
      3. Memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan mapan serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik (GAP);
      4. Mempercepatkan pemindahan teknologi di dalam rantaian bekalan;

      Skop Program Ladang Kontrak melibatkan petani di bawah pengelolaan Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak sebagai pengeluar dan FAMA/Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia bertindak sebagai pembeli dan bersetuju menjamin pasaran hasil tanaman di mana petani mengeluarkan hasil tanaman seperti yang dikehandaki.
       
    3. PUSAT PENGUMPULAN (CC) DAN PUSAT PENGEDARAN (DC)

      FAMA telah mewujudkan Pusat Pengumpulan Ladang (CC) dan Kompleks Pengumpulan Ladang (KPL) di peringkat pengeluaran hasil pertanian. Projek tersebut bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah pemasaran pertanian melaui amalan pengendalian lepas tuai, peningkatan mutu penggredan, pelabelan serta sebagai pusat saluran informasi pertanian. Buat masa ini FAMA telah membangunkan sebanyak 91 buah Pusat Pengumpulan yang melibatkan seramai 2,232 orang peserta.

      FAMA juga mewujudkan pusat-pusat pengedaran di kawasan bandar utama yang berhampiran dengan kompleks pasar borong sedia ada. Pusat Pengedaran (DC) berperanan sebagai pusat penerimaan, tambah nilai dan seterusnya mengedarklan hasil-hasil keluaran pertanian ke rangkaian pasaraya dan institusi. Pusat pengedaran mempunyai kemudahan dan peralatan untuk urusan pembungkusan semula, penyimpanana, pemeraman dan khidmat logistik penghantaran.


      Selain berfungsi sebagai pusat edaran produk pertanian, pusat ini turut berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat berkaitan pemasaran hasil pertanian dan teknologi yang berfaedah kepada petani dan pengusaha. Terdapat sebanyak 14 buah pusat pengedaran FAMA sedang beroperasi di seluruh negara.

       
    4. 'Malaysia's Best'

      Malaysia's Best adalah merupakan sebuah lambang pengesahan kualiti dan keselamatan makanan hasil pertanian Malaysia yang memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk yang mempunyai mohor tersebut telah melepasi tahap kawalan kualiti di peringkat ladang dan lepas tuai yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani setaraf dengan standard antarabangsa seperti Europgap.


      Program Malaysia's Best telah dirangka dengan tujuan untuk mewujudkan satu jenama payung (umbrella brand) yang berkesan bagi tujuan promosi di dalam atau pun di luar negara. Ianya juga bertujuan untuk menanamkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti dan keselamatan hasil tempatan dan seterusnya membina satu imej yang baik untuk barangan pertanian Malaysia.

       
    5. SISTEM PEMADANAN MAKLUMAT BEKALAN DAN PERMINTAAN (SUPPLY DEMAND VIRTUAL INFORMATION -SDVI)

      SDVI merupakan satu sistem bersepadu yang dibangunkan oleh FAMA bagi memantau keseimbangan keadaaan pasaran dengan mengenalpasti permintaan hasil-hasil pertanian dan seterusnya pengeluaran.


      Antara matlamat utama SDVI ialah untuk membantu pertumbuhan sektor pertanian menerusi teknologi maklumat (ICT) dengan memperkenalkan sistem dan penawaran serta mengintegrasikan maklumat keperluan pemasaran dengan keadaaan bekalan. Ia mengenalpasti anggaran permintaan dan bekalan dalam menangani lebihan atau kekurangan bekalan pada sesuatu masa. Dengan maklumat permintaan, pengeluaran dan harga pasaran komoditi berasaskan pertanian di seluruh negara, maka harga pasaran serta kuantiti pengeluaran dapat ditetapkan supaya bekalan dan permintaan boleh diwujudkan secara seimbang. SDVI boleh dilayari melalui laman web http://sdvi.fama.net.my atau http://www.fama.gov.my

       
    6. PASAR TANI MEGA dan GERAI BUAH-BUAHAN SEGAR (GBBS)

      Pasar Tani Mega diperkenalkan bagi memberikan satu anjakan imej yang baru dan seterusnya mengekalkan daya saing pasar tani.Ia merupakan satu lambang kejayaan milik bersama usahawan tani yang menjadi peserta pasar tani dan juga pengeluar iaitu petani, penternak dan nelayan. Pasar Tani Mega memperkenalkan beberapa ciri baru yang menonjolkan suasana ceria, mesra pelanggan dan peragaan barangan yang lebih kemas, teratur dan 'hygenic' serta ruang membeli belah yang lebih luas. Sehingga akhir tahun 2006, sebanyak 35 buah Pasar Tani Mega telah diwujudkan.


      Selain itu, FAMA juga mewujudkan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) yang merupakan salah satu daripada program pembangunan usahawan di bawah bimbingan FAMA


      Ia merupakan rangkaian gerai jualan buah-buahan milik usahawan sedia ada di seluruh negara yang telah dipilih untuk ditambahbaik dengan imej yang seragam dan susunatur yang kemas serta menarik.


      GBBS menjadi saluran alternatif kepada pengguna mendapatkan buah-buahan yang berkualiti serta sebagai ruang kepada usahawan untuk meningkatkan urusniaga buah-buahan. Program ini merupakan satu usaha bagi menarik orang ramai mendapatkan bekalan secara langsung dan seterusnya meningkatkan penggunaan perkapita buah-buahan tempatan.


      Sehingga kini FAMA telah berjaya membangunkan seramai 163 usahawan dengan 326 gerai di seluruh negara.

       
    7. OLEMAS dan AGROMAS

      OLEMAS merupakan satu jenama nasional barangan makanan keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah melepasi satu tahap kualiti yang mampu bersaing dengan produk lain di pasaran.


      Program penjenamaan produk keluaran PKS ini dibangunkan bersama antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani. Hasil kerjasama ini telah menempatkan enam jenis produk di pasaran sejak tahun 2004 iaitu Sri Kaya Madu, Kuah Rojak Madu, Sos Cili Padi, Sos Pedas Berkicap, Sos Nenas Bercili dan Kuah Percik.


      AGROMAS pula merupakan jenama produk yang diedarkan oleh FAMA. Produk-produk yang dijenamakan di bawah AGROMAS adalah merupakan produk-produk yang terpilih dan berpotensi untuk berkembang. Ia terdiri daripada produk keluaran kilang FAMA sendiri dan juga keluaran dari kalangan pengusaha PKS tempatan yang berdaya saing dan maju.

       
    8. PEMBANGUNAN SISTEM DAN KAWALAN PASARAN SERTA e-PERMIT

      Dalam era globalisasi dan liberalisasi persaingan dalam pasaran hasil-hasil pertanian menjadi amat sengit. Faktor kualiti seperti penerapan 'standard' dan 'traceability', pembungkusan yang baik dan menarik akan menjadi kelebihan kepada sesuatu keluaran.


      FAMA akan melaksanakan Peraturan-Peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian) yang menetapkan beberapa perkara

      • Standard gred keluaran pertanian
      • Standard pembungkusan keluaran pertanian
      • Standard pelabelan kepada pembungkusan
      • Pengeluaran perakuan untuk keluaran pertanian yang akan dieksport.

      FAMA juga telah mengaplikasikan e-Permit bagi membolehkan permit import (menerima dan memproses permohonan permit) dikeluarkan secara elektronik. Semua informasi permit import yang diluluskan dihantar secara elektronik ke Jabatan Kastam Malaysia. Sistem ini dibangunkan secara "web-based". Perlaksanaan e-Permit telah dibangunkan pada awal tahun 2004 dan FAMA merupakan salah sebuah agensi kerajaan yang pertama melaksanakan sistem ini.
       
    9. PEMBANGUNAN URUSNIAGA

      Pada tahun 2008, FAMA akan terus memperkukuhkan urusniaga dengan menetapkan unjuran 10% daripada nilai saiz pasaran hasil-hasil pertanian dan akanan proses negara menjelang tahun 2010. Program pembangunan urusniaga dilaksanakan denga tujuan untuk menjamin pasaran serta mendapatkan laluan bagi pasaran dan produk baru. Program ini dilaksanakan melalui penglibatan FAMA secara terus dalam aktiviti pembelian dan jualan hasil-hasil pertanian oleh Jabatan / Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Kontrak Pemasaran, Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) dan ladang nukleus. Program ini juga dapat mengatasi masalah lambakan buah-buhan segar dalam negara yang sering berlaku pada waktu pengeluaran buah-buahan bermusim.


      FAMA telah menetapkan sasaran urusniaga sebanyak RM 1002 juta meliputi jualan secara langsung sebanyak RM 100 juta ( produk segar dan proses RM 80 juta serta eskport RM 20 juta) dan jualan secara tidak langsung sebanyak RM 902 juta ( melalui pasar tani RM 350 juta, Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) RM 350 juta dan pengaturan pasaran produk proses RM 302 juta). Bagi memperkukuhkan perkhidmatan ini, FAMA telah mewujudkan lima pejabat wilayah yang akan menguruskan 34 buah pusat-pusat operasi yang akan terlibat dalam aktiviti pembelian dan jualan jasil-hasil pertanian di seluruh negara

       
    10. MODAL INSAN

      Insan merupakan salah satu modal terpenting yang dibangunkan bagi mewujudkan pengurusan keupayaan yang strategik dalam menyokong FAMA sebagai Organisasi Berasaskan Pengetahuan (Knowledge-Based Organization). Program latihan yang dibangunkan adalah untuk meningkatkan kompetensi di kalangan kakitangan serta usahawan.

    Monday 9 January 2012

    PERIHAL KADA (PENGAIRAN & SALIRAN)

         Kawasan KADA meliputi sebahagian besar dataran Kelantan Utara yang padat dengan penduduk. Ianya meliputi 5 rancangan pengairan yang melibatkan 5 jajahan iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat. Jumlah kawasan yang dilengkapi dengan infrastruktur pengairan yang menyokong penanaman padi 2 kali setahun ialah 31,464 hektar.
     PENGAIRAN & SALIRAN         PENGAIRAN & SALIRAN
    RANCANGAN PENGAIRAN
    LUAS
    Rancangan Pengairan Kemubu
    20,148 ha
    Rancangan Pengairan Lemal
    8,708 ha
    Rancangan Pengairan Pasir Mas
    2,608 ha
    LUAS
    31,464 ha

     
    Rumah Pam Kemubu
    Air digumba daripada Sungai Kelantan dan disalurkan ke sawah-sawah melalui sistem tali air.
    Empangan Ketereh
    Air yang ditakung di Sungai Ketereh dibekalkan ke sawah-sawah melalui sistem tali air.

    Rumah Pam Sekunder
    Air daripada sungai dan sistem saliran di tempat-tempat tertentu digumba untuk dibekalkan ke sawah-sawah yang tidak mendapat bekalan air daripada Rumah Pam Kemubu.

    Empangan-Empangan Kecil
    Air dialirkan daripada sungai ke sawah-sawah ataupun digunakan sebagai tambahan kepada bekalan air yang diterima daripada Rumah Pam Kemubu.
    Sistem Tali Air
    Sistem tali air yang terdapat di dalam Rancangan Pengairan Kemubu ialah :
    • Sistem Tali Air Selatan
    • Sistem Tali Air Limbat
    • Sistem Tali Air Guntung Dalam
    • Sistem Tali Air Banggu
    • Sistem Tali Air Gunung
    • Sistem Tali Air Kelantan
    • Sistem Tali Air Jakar
    • Sistem Tali Air Peringat
     
    Rancangan Pengairan Lemal
    Sumber Bekalan Air
    • Rumah Pam Lemal - Air pengairan digumba daripada Sungai Kelantan dan disalurkan ke sawah-sawah melalui sistem tali air.
    • Empangan Tok Uban - Air daripada empangan di Sungai Lemal dialirkan kesistem tali air sebagai tambahan kepada bekalan air yang didapati daripada Rumah Pam Lemal.
    Sistem Tali air
    Sistem tali air yang terdapat di dalam Rancangan Pengairan Lemal ialah :
    • Sistem Tali air TUC
    • Sistem Tali air TUCR
    • Sistem Tali air TUCl
    Rancangan Pengairan Pasir Mas
    Latar Belakang
    Rancangan Pengairan Pasir Mas terletak di sebelah tebing kiri Sungai Kelantan meliputi kawasan pengairan seluas 1,875 hektar di Jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

    Sumber Bekalan Air
    • Rumah Pam Kasar - Air pengairan digumba daripada Sungai Kelantan dan disalurkan ke sawah-sawah melalui sistem tali air.
    • Rumah Pam Booster - Air daripada sungai dipam untuk disalurkan ke sawah-sawah melalui sistem tali air.
    Sistem Tali Air
    Sistem tali air yang terdapat di dalam Rancangan Pengairan Pasir Mas ialah :
    • Sistem Tali air KCR
    • Sistem Tali air KCL
    Jenis Tali Air
    Panjang (M)
     Tali air Utama
    19935
     Tali air kedua
    23075
     Tali air Ketiga
    113175
     Jumlah
    156 185

    Thursday 5 January 2012

    Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB)

    Bertanggungjawab untuk melaksanakan program-program pembangunan sektor pekebun kecil dan program sokongan industri di bawah Rancangan Lima Tahun Malaysia. Melaksanakan program-program kawalan mutu yang berkaitan dengan industri nanas yang meliputi aspek pengeluaran buah, pemprosesan dan hasilan nanas bagi menjamin kualiti pengeluaran mengikut spesifikasi-spesifikasi dan codex alimentarius dengan perlaksanaan program kawalan mutu melalui:
        1. Penubuhan program kawalan mutu pertama (QCC) dengan kilang
      2. Pemeriksaan untuk nanas kaleng di makmal
      3. Penubuhan makmal grading, mikrobiologi dan makmal kimia
      4. Perlaksanaan sistem ISO 9002
         
      5. Menjalankan kegiatan pendaftaran yang diperuntukkan di bawah Akta Perindustrian Nanas
         
        6.  Pendaftaran kilang
      7.  Pendaftaran pengangkut
      8.  Pendaftaran penanam-penanam nanas
      9.  Pendaftaran pengeksport
       
        10. Pengeluaran permit eksport nanas kaleng dan nanas segar
         
      11. Penetapan harga buah nanas, jenis kaleng yang dihantar ke kilang

    Tuesday 3 January 2012

    Permohonan Permit Import Kubis

    Latar Belakang
    Pelaksanaan kuota kubis bulat pada permulaannya telah ditadbirkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 1969. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kemudiannya telah mengambil alih tugas mentadbir kuota kubis bulat mulai tahun 1987. Pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) telah menurunkan kuasa seperti yang terdapat di bawah Perintah Duti kastam (Larangan Mengenai Mengimport) 1988 kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) bagi mengeluarkan lesen import.

    Sejak Oktober 1992, 12 buah konsortium telah ditubuhkan dan pemberian AP hanya diberikan kepada konsortium. Sehingga Disember 2002, sejumlah 17 konsortium telah ditubuhkan di mana ahli-ahlinya terdiri daripada lebih dari 200 syarikat yang memegang permit import kubis yang terdiri dari bumiputera dan bukan bumiputera. 
     
    Objektif Menetapkan Kuota Import Kubis
    • Melindungi petani-petani tempatan khasnya penanam kubis di Cameron Highlands.
    • Memastikan pengguna mendapat bekalan yang mencukupi dengan harga yang berpatutan.
    • Memberi peluang kepada Bumiputera menceburi bidang import/ eksport sayur-sayuran.
    Pentadbiran Pemberian Kuota Kubis Bulat Dan Proses Lesen Import Kubis Bulat
    Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan bertanggungjawab untuk mentadbirkan pemberian kubis bulat. Jawatankuasa tersebut iaitu Jawatankuasa Mentadbir Lesen Import/Eksport Hasil-Hasil Pertanian adalah dipengerusikan oleh Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan (ITTP), MOA dan Ahli-ahli Jawatankuasa terdiri daripada pegawai dari FAMA dan Jabatan Pertanian.

    Jawatankuasa ini bermesyuarat sebulan sekali. Agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa ini ialah:-      
    • Menentukan jumlah kuota import kubis bulat setiap bulan dan kuota biji kopi tidak digoreng pada setiap tiga bulan sekali.
    • Memberi keputusan untuk menerima atau menolak permohonan baru berdasarkan kriteria pemohon.
    • Menimbang rayuan daripada syarikat-syarikat yang telah ditolak pemohonnya.
    Penentuan Kuota Import Kubis Bulat Untuk Setiap Bulan
     
    Penentuan kuota import bulanan kubis adalah berdasarkan kepada faktor bekalan dalam negeri, permintaan, eksport dan harga pasaran semasa. Formula yang dikirakan adalah seperti berikut:-

    Q  =  P - (K - E)
    P  =  Penggunaan kubis bulat sebulan berdasarkan kepada Kajian Isi Rumah FAMA 1991
    K  =  Pengeluaran kubis bulat sebulan berdasarkan kepada Kajian Bekalan FAMA
    E  =  Anggaran eksport kubis bulat berdasarkan Purata Eksport tiga bulan terakhir
    Q  =  Kuota Import Bulanan kubis bulat

    Contoh Penetapan Jumlah Kuota Bulanan

    Q  =  P - (K - E)
         =  7,876 - (2,999 - 352)
         =  4,525 MT
     
    Pengagihan Kuota Kepada Konsortium
     
    Pengagihan kuota kepada konsortium adalah berdasarkan kepada formula yang diuruskan oleh FAMA. Terdapat 2 jenis pengagihan kuota iaitu kuota tetap dan kuota berubah.
     
    Kriteria Kelayakan Mendapatkan Kuota Import
     
    Para pengimport yang ingin mengimport kubis bulat ke dalam negara perlu mendapat kelulusan AP (Approval Permit) dari Jawatankuasa Mentadbir Lesen Import/Eksport Hasil-hasil Pertanian. Borang permohonan boleh didapati di pejabat FAMA dan diisi lengkap sebelum dihantar kembali ke pejabat FAMA. Pihak FAMA terlebih dahulu akan memproses permohonan AP ini dan membuat ulasan sebelum dibentangkan di mesyuarat bulanan untuk diberi keputusan. Kriteria-kriteria yang telah ditetapkan untuk seseorang itu memperoleh AP ini adalah:-
    • Pemohon yang mendapat kontrak di mana-mana Jabatan Kerajaan atau Badan Berkanun untuk membekalkan sayur-sayuran.
    • Pemohon-pemohon yang sedang bergiat secara langsung (pemborong dan peruncit) dalam perniagaan sayur-sayuran sekurang-kurangnya tiga tahun.
    • Pemohon yang mempunyai tempat perniagaan sendiri serta mempunyai alat-alat perkakas yang lengkap dan kenderaan untuk mengendalikan perniagaan import dan menjual sayur-sayuran.
    • Konsortium-konsortium akan diberikan keutamaan berbanding dengan pemohon-pemohon individu.
    • Pemohon yang mempunyai rekod perniagaan yang baik. (Carta Aliran Kelulusan Pengeluaran AP Kobis Bulat Seperti di bawah)
    Syarat-Syarat Pemberian Ap
    • Pemegang-pemegang AP hendaklah menjalankan aktiviti pengimportan mengikut kuota yang telah diluluskan.
    • AP yang telah diberikan tidak boleh dijual kepada pihak lain atau dipindah milik, dan dikehendaki menandatangani akujanji dengan FAMA. 
    • Syarikat hendaklah berdaftar dengan Pendaftar Syarikat/Pendaftaran Perniagaan dan jenis perniagaan berkaitan dengan perniagaan sayuran. 
    • Mulai tahun 2000, para pemohon yang berjaya mendapatkan kuota import diberi tempoh percubaan 6 bulan untuk menunjukkan prestasi sebelum pegangan AP diteruskan selanjutnya. Walau bagaimanapun, AP mereka perlu diperbaharui dari setahun ke setahun dan kelulusan bergantung kepada prestasi aktiviti pengimportan kubis bulat. Penarikan AP boleh dilakukan sekiranya pemegang AP didapati melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.
    Penarikan Balik Ap
    Pada tahun 2000, Jawatankuasa telah menjalankan penyemakan terhadap prestasi aktiviti pemegang-pemegang AP berkaitan dengan pengimportan kubis bulat melalui laporan ROC (Pendaftar Syarikat) dan ROB (Pendaftar Perniagaan) pemegang terbabit.  Adalah didapati lebih dari 58% pemegang AP telah tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.  Kebanyakan daripadanya didapati tidak menjalankan aktiviti pengimportan kubis malahan telah menjual AP mereka kepada pihak lain.

    Terdapat juga kes di mana tempoh sah pendaftaran syarikat pemegang AP telah lama tamat dan diandaikan mereka telah tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Sebahagian dari mereka juga didapati telah mewarisi AP import ini dari pemegang asal dan juga telah memegang AP sebelum tahun 1986 lagi.  Ada di antara syarikat berkenaan yang telah ditutup.

    Pemegang-pemegang AP yang terlibat telah dihantar dengan surat tunjuk sebab mengapa AP mereka tidak boleh ditarik balik. Pelbagai ulasan telah diterima di antaranya menyatakan:-
    • aktiviti syarikat telah diambil alih oleh syarikat baru yang menjalankan aktiviti yang berkaitan.
    • Syarikat telah menjalankan aktiviti terbabit sejak dahulu lagi.
    • Urusan berkaitan pengimportan kubis bulat perlu diserahkan kepada konsortium kerana difikirkan syarikat tidak perlu lagi terlibat di dalam aktiviti pengimportan.
    Isu-Isu Semasa
    • Banyak permohonan-permohonan baru untuk mendapatkan AP terus diterima sedangkan jumlah kuota import bulanan tidak jauh berbeza. Justeru itu, kebanyakan permohonan tersebut terpaksa ditolak berdasarkan peruntukan kuota yang tidak bertambah walaupun permohonan tersebut layak dipertimbangkan. Ini disebabkan masih terdapat pemegang AP lama yang masih dikekalkan walaupun mereka tidak memberi sumbangan terhadap industri kubis.
    • Kebanyakan pemegang-pemegang AP lama yang memperoleh AP berdasarkan kepada kontrak atau tender Kerajaan telah tidak aktif atau tidak  mempunyai tender tetapi masih memegang AP.
    • Pemindahan hak milik AP oleh pemegang AP kepada waris/sanak-saudara.
    • Prestasi konsortium sedia ada didapati kurang memuaskan dari segi pentadbiran konsortium dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan serta menghadapi banyak masalah pengurusan. Hanya ada beberapa konsortium sahaja yang aktif dan mematuhi syarat penerimaan AP.
    • Terdapat kemasukan kubis bulat tanpa AP dan ‘under declaration' berlaku di pintu-pintu masuk dan sempadan Negara.

    Konsortium Perikanan Nasional Berhad (KPNB)

    Pengenalan
    Di bawah tujahan dasar baru Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3), Kerajaan telah menetapkan beberapa strategi dan mekanisma untuk menunjukkan keprihatinannya terhadap pembangunan pertanian dan ekonomi secara keseluruhannya. Keprihatinannya kebimbangannya termasuk keselamatan makanan, produktiviti, pelaburan sektor swasta dalam pertanian, penambahan eksport-eksport dan pemuliharaan serta penggunaan sumber semula jadi yang berterusan. Dalam menangani keadaan ini, Kerajaan mencadangkan untuk menarik pihak sektor swasta untuk bersama-sama menyertai usaha pembangunan dalam industri perikanan tempatan. Usaha bersama daripada sektor swasta dan awam ini adalah diharapkan untuk memacu pemodenan industri perikanan terutamanya perikanan laut dalam, pemasaran dan pengedaran serta aktiviti-aktiviti pemprosesan ikan.

    Industri perikanan, terutamanya perikanan laut dalam dan akuakultur telah dikenalpasti sebagai kawasan dengan prospek pertumbuhan yang sangat baik. Pembangunan akan ditumpukan kepada pemuliharaan dan penggunaan sumber-sumber perikanan terhadap asas yang mampan. Ia akan disokong dengan infrastruktur perikanan moden, pemprosesan, rangkaian pemasaran, pembangunan sumber manusia yang komprehensif dan juga program penyelidikan dan pembangunan.

    Permintaan terhadap ikan dan produk-produk perikanan dijangka akan meningkat, berdasarkan pertumbuhan penduduk yang tinggi dan pendapatan per kapita yang bertambah. Tahap penggunaan semasa adalah 52.5 kilogram setiap kapita meletakkan Malaysia di kalangan negara yang menggunakan makanan laut tertinggi di dunia. Ikan dan produk-produk perikanan adalah makanan ruji tempatan, dan ia merupakan sumber protein haiwan utama untuk hampir kesemua kaum dan golongan pendapatan.

    Pengimportan ikan adalah berkemungkinan akan berterusan jika bekalan tempatan tidak mampu untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Tambahan pula, statistik menunjukkan banyak potensi bagi pelaburan dalam sektor ini. Oleh itu, sebagai satu usaha Kerajaan untuk menarik sektor swasta dalam meneraju pembangunan industri perikanan tempatan, Konsortium Perikanan Nasional Berhad (KPNB) telah ditubuhkan.
    Objektif
    Mandat KPNB adalah untuk melaksanakan langkah-langkah yang berkesan ke arah pemodenan kumpulan nelayan, pembangunan dalam pemprosesan ikan dan pemasaran dan aktiviti-aktiviti pengedaran yang baik. KPNB dijangka akan bertindak sebagai satu pemangkin kepada pertumbuhan terhadap peluang-peluang pelaburan dalam aktiviti-aktiviti industri perikanan.
    Dalam memodenkan sektor perikanan, ia diharapkan agar KPNB akan memenuhi, antara lain, objektif-objektif berikut:-
    1. Membangunkan kaedah-kaedah penangkapan yang lebih baik dan mampan;
    2. Meningkat pengeluaran dan kualiti ikan negara;
    3. Menjana pulangan yang menarik kepada pengusaha industri perikanan;
    4. Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan tempatan;
    5. Menggalakkan pembangunan produk-produk baru dan
    6. Membangun memajukan kemudahan pelabuhan perikanan untuk menyokong operasi perikanan, merangkumi pembaikan dari segi pengendalian dan kebersihan.
    Aktiviti Teras KPNB Yang Dicadangkan
    Berdasarkan pelbagai spektrum rangkaian aktiviti perikanan luas, tiga aktiviti yang dianggap untuk memiliki potensi pertumbuhan sekaligus menyumbang kepada sinergi adalah :
    • Perikanan Laut Dalam
    • Pemasaran & Pengedaran; dan
    • Pemprosesan ikan
    Rangkaian Aktiviti-Aktiviti Yang Telah Dicadangkan Adalah:-
     
    Penangkapan
    Aktiviti penangkapan laut dalam yang menggunakan kapal-kapal moden hari ini yang berkemampuan untuk meneroka lebih daripada 30 batu nautikal ke luar pesisir sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan perairan antarabangsa.

    Pembelian

    Konsortium akan membeli semua ikan-ikan ditangkap daripada kapal-kapalnya sendiri. Pembelian tambahan atau import-import mungkin diperlukan, tertakluk kepada permintaan pasaran. Ikan-ikan yang telah dibeli akan diasingkan dan diagihkan untuk pasaran dan / atau untuk aktiviti pemprosesan.

    Pemprosesan

    Aktiviti pemprosesan akan menghasilkan menangkap produk berasaskan ikan yang separa diproses dan / atau diproses. Produk-produk nilai ditambah ini akan dibungkus dan / atau ditinkan untuk agihan pasaran.

    Pengedaran

    Produk-produk (ikan segar atau produk berasaskan ikan) akan diangkut ke outlet-outlet tertentu seperti pasar borong, pasaraya, pembeli institusional serta pasaran luar negara.

    Pemasaran

    Aktiviti pemasaran adalah sangat penting untuk menjamin rangkaian pengedaran yang lebih meluas. Strategi pemasaran yang inovatif seperti iklan dan promosi boleh digunakan untuk memastikan pengedaran yang lebih berkesan dan menjual produk-produk konsortium.